Alhamdulillah wa syukurlillah, lagi kesempatan di beri olehnya untuk ana menulis dan kalian membaca, tidak mungkin terjadi susun atur ini jika tiada keizinan dariNya, pasti!. Selawat dan salam buat baginda, insan mulia, qudwah sepanjang zaman, Muhammad Rasulullah.

Mengambil teladan dan segala kebaikan untuk dijadikan qudwah pastinya amat digalakkan di dalam Islam sendiri, namun apa yang mahu ana bawakan, mencontohi bukanlah menjadi. Buat memudah cara, cuba fikir ini, bila menjadikan Rasulullah sebagai idola, semampu mungkin kita akan mencontohi segala akhlak baginda, tetapi walau apa pun yang dilakukan, kita tetap tidak akan mampu menjadi Rasul bukan?...yang boleh, mencontohi bukan menjadi :)
Maksud firman Allah SWT :
" Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu sebaik-baik teladan bagi kamu (untuk diikuti) iaitu bagi orang yang mengharapkan (keredhaan) Allah dan (kemuliaan hidup) di akhirat dan orang yang banyak mengingati Allah "al Ahzab : 21
Rasanya boleh memahami dengan jelas bukan?...masing2 punya potensi diri yang berlainan, tidak semua manusia itu sama, itulah antara tanda kebesaran Allah yang menjadikan manusia berlainan sifat dan kemahirannya. Dapat dilihat dulu dan kini, masih ada, bahkan ramai manusia yang mahu menjadi apa yang bukan dirinya, atau dalam erti kata lain, hipokrit. Maksudnya, di depan lain, tetapi bila dibelakang transform menjadi seseorang yang lain pula.
Secara pastinya ia memang berlaku, bahkan banyak kes2 sebegini. Mahu menonjolkan diri tetapi dengan menjadi orang lain. Sebenarnya ana tidak kisahkan manusia yang mahu menonjolkan diri dengan perkara kebaikan bagi usaha memperbaiki diri, tetapi yang menjadi kecelaruan adalah segelintir manusia yang boleh dikategori sebagai sesumpah, berubah2 mengikut keadaan bagi menjamin kebaikan untuk diri sendiri semata. Apakah ini sesuatu yang Islam tunjukkan?...pastinya semua akan menjawab tidak, jadi jangan lagi berperilaku sebegitu!
Apa yang terbaik adalah berusaha menjadi diri sendiri, mengikut kemampuan dan potensi diri dengan mencontohi contoh ikutan terbaik bagi kita. Janganlah menipu diri sendiri dengan hanya berlakon semata2 ingin mencari populariti dan kemahsyuran di dunia yang sementara cuma. Sedih melihat insan2 yang sering lupa diri, mahu menjadi sesuatu yang bukan dirinya, seolah menipu diri sendiri, dan lebih2 lagi menipu orang disekitar.
Maksud firman Allah SWT :
" Beginilah kamu, kamu menyukai mereka, padahal mereka tidak menyukai kamu, dan kamu beriman kepada kitab-kitab semuanya. Apabila mereka menjumpai kamu, mereka berkata "Kami beriman", dan apabila mereka menyendiri, mereka menggigit ujung jari antaran marah bercampur benci terhadap kamu. Katakanlah (kepada mereka): "Matilah kamu kerana kemarahanmu itu." Sesungguhnya Allah mengetahui segala isi hati "Ali Imran : 119
Cubalah mengenal diri sendiri dan memaksimumkan potensi sebenar, bukan terikut2 dengan suasana lantas terus saja mahu berlakon supaya sekata dengan keadaan sekeliling. Tidak berapa kena rasanya jika hidup bertopengkan manusia lain, sedangkan diri sendiri punya suatu potensi yang lain, janganlah kerana nama kita sanggup hidup bertopeng, usahalah untuk menjadi diri sendiri, supaya nanti orang akan mengenal kita dengan apa yang sebenarnya kita ada, bukan dengan tindak tanduk yang hipokrit semata.
Jika kita seorang yang lemah dalam sesuatu bidang, maka akuilah dan belajarlah dari yang lebih tahu, bukannya terus berlagak bodoh sombong kerna tidak mahu orang mengetahui kelemahan diri, ini bukanlah cara yang betul, bahkan sudah terpesong dari landasan Islam itu sendiri. Jika tidak tahu akui saja, jika lemah akui saja, jadilah diri sendiri, jangan terus berlakon seolah2 hebat dalam semua hal sedangkan itu sifat hipokrit yang tidak terpuji gayanya.
Ingatlah konsep kehambaan, kita sebagai manusia yang bersifat hamba pastinya tidak lari dari kelemahan, tidak perlu malu menjadi diri sendiri, juga tidak perlu malu mengakui kelemahan kerna selagimana bergelar manusia, pastinya tidak lari dari fitrah kejadiannya, lemah!...Sifat lemah itu milik hamba dan sifat berkuasa itu milik Pencipta, jadi usahlah mahu terus sombong serta ego sampai lupa diri dan menjadi insan yang hipokrit.
Ingatan kepada diri terutamanya, ukurlah kasut dengan saiz kaki sendiri, bukannya dengan kaki manusia lain, kerana yang mahu memakainya nanti bukanlah yang lain, bahkan diri sendiri jua. Bayangkan saja, jika saiz kita adalah 6, tetapi memakai kasut saiz 10, agaknya bagaimana nanti ya?...pasti terhencut2, begitulah jua hakikatnya jika membuat sesuatu yang bukan lahir dari diri sendiri, ingin orang melihat kita hebat, tetapi pasti akhirnya ia akan menyusahkan diri sendiri...wallahu'alam.