.:: WaDi aL QuRRa' ::.

BISMILLAH... IQRA!.. AFHAM!.. AMAL!... Dunia ini adalah perlembahan yang subur dengan ilmu YANG MAHA KUASA... Jika bukan kita yang mengusahakan dan menuainya... Siapa lagi yang lebih berhak?...

~ ar Rifq - Perhiasan Seorang Muslim ~

Bismillah...

Maksud firman Allah SWT :
“ Serulah (manusia) kepada jalan Rabbmu dengan hikmah dan peringatan yang baik serta bantahlah mereka dengan cara yang terbaik ”
(an Nahl : 125)

Alhamdulillah wa syukurlillah, segala puji dan syukur buat Maha Suci Allah, tuhan sekalian alam, pencipta maya pentadbir dunia. Selawat dan salam buat insan mulia, pembawa rahmat menerangi dunia, Muhammad Rasulullah SAW.

Wadi al Qurra' sepi agak lama, terhimpit kerana masa, terhalang kerana tanggungjawab, namun tersedar, ini juga tanggungjawab yang perlu di selesaikan. Mencuri ruang, menyelit kata, semoga amanah ini di tunaikan daripada hati kepada hati, izinkan ana berbicara...

Menempuh fasa - fasa dalam kehidupan akan membawa kita kepada pelbagai ragam manusia, ada yang menyeronokkan, ada yang menyedihkan, semuanya bakal menjadikan hidup ini dapat di warnai dengan warna - warna kehidupan. Jelas, mengharungi alur dunia bukan hanya perlukan sampan, tetapi dayungnya sekali, persiapan perlu lengkap agar warna kehidupan nanti indah dan cantik.

Satu Keindahan

Ana tidak perlu pergi jauh, sekadar melihat keperluan diri, perubahan fasa kehidupan memerlukan banyak kelengkapan, materialnya, rohaninya, ilmunya, semua ini bakal menjadikan kita seorang manusia yang manusia. Fitrah manusia itu lemah, pastinya ada kelemahan, dan kita paling beruntung jika dapat merasai kelemahan itu, lantas berusaha dan bertindak menampung segala yang perlu.

Sungguh, ianya sesuatu yang indah apabila kita benar - benar menjiwai kehidupan, berusaha melengkapinya, apatah lagi jika berusaha untuk saling melengkapi antara satu sama lain, menyemai kesempurnaan dalam kelemahan, sesungguhnya manusia itu lemah, maka kuatkanlah diri dengan membenarkan kekurangan kita ditampungi insan yang lain, itulah hakikat kehidupan, di jadikan untuk hidup berpasang pasangan, berkumpul kumpulan.

Kelembutan Satu Anugerah

ar Rifq, ana tidak saja - saja meletakkannya sebagai tajuk utama, walaupun mungkin tidak nampak lagi keterkaitannya dengan tulisan ini. Qurra' yang di rahmati Allah, secara mudahnya ar Rifq itu bermakna lemah lembut. Salah satu sifat yang menjadikan dunia ini harmoni dan sejahtera. Ianya satu anugerah daripada Allah, akan tetapi kurniaan ini seringkali mendapat tempat terkebelakang, manusia lebih suka memilih kekasaran dari kelembutan

Jiwa kasar, hati kasar, kelakuan kasar, kononnya hebat, di pandang berkuasa. Lupa mungkin ketulusan dan kelembutan hati Rasulullah SAW itulah yang memikat ramai kepada Islam. Mudahnya, ar Rifq ini satu anugerah yang di lupakan.

Maksud Hadith Rasulullah SAW :

“ Mahukah aku kabarkan kepada kalian tentang orang yang diharamkan dari neraka atau neraka diharamkan atasnya? Yaitu atas setiap orang yang dekat (dengan manusia), lemah lembut, lagi memudahkan ”
(HR : Tirmidzi)

Menjadi Manusia

Manusia sememangnya memerlukan sesuatu untuk melengkapkan diri, banyak caranya, seperti menyiapkan diri dengan sabar, amanah dan sebagainya, namun ana menjadikan ar Rifq atau sikap lemah lembut ini untuk menjadi titik fokus. Mengapa ar Rifq?, kerana tanpa ar Rifq kita tidak akan menjadi manusia.

Manusia hebat bukan dengan marahnya, tetapi dengan sikap berlemah lembutnya mahupun dikasari, tampak jengkel, tetapi dengan sikap inilah berapa ramai telah terpaut dengan sosok mulia Muhammad Rasulullah SAW, lihat saja sebuah kisah :

Dikisahkan dalam sebuah hadith bahawa suatu ketika Rasulullah SAW sedang duduk-duduk bersama para sahabat radhiallahu ‘anhum di dalam masjid. Tiba-tiba muncul seorang Arab badwi (kampung) masuk ke dalam masjid, kemudian kencing di dalamnya. Maka, dengan serta merta, bangkitlah para sahabat yang ada di dalam masjid, menghampirinya seraya mengherdiknya dengan ucapan yang keras. Namun Rasulullah SAW melarang mereka untuk mengherdiknya dan memerintahkan untuk membiarkannya sampai orang tersebut menyelesaikan hajatnya. Kemudian setelah selesai, baginda SAW meminta untuk diambilkan setimba air untuk dituangkan pada air kencing tersebut. (HR : Bukhari)

Kemudian baginda SAW memanggil Arab badwi tersebut dalam keadaan tidak marah ataupun mencela. Baginda SAW justeru menasihatinya dengan lemah lembut :
“ Sesungguhnya masjid ini tidak pantas untuk membuang benda najis (seperti kencing) atau kotoran. Hanya saja masjid itu di didirikan sebagai tempat untuk zikir kepada Allah, solat, dan membaca Al Qur’an.”
(HR : Muslim)

Melihat sikap Rasulullah SAW yang demikian lembut dan halusnya dalam menasihati, timbullah rasa cinta dan terharu Arab badwi tersebut kepada baginda SAW. Maka dia pun berdoa: “ Ya Allah, rahmatilah aku dan Muhammad, dan janganlah Engkau merahmati seorangpun bersama kami berdua ”

Mendengar doa tersebut Rasulullah SAW tertawa dan berkata kepadanya :
“ Kamu telah mempersempit sesuatu yang luas (rahmat Allah) ”
(HR : Bukhari dan yang lainnya)

Lihatlah bagimana seorang Arab Badwi yang kebiasaannya bersikap kasar, dengan mudah dapat disentuh dengan kelembutan sikap Rasulullah SAW, benarlah api jika di balas dengan api, semakin besar dan merebaklah ia.

ar Rifq - Kewajipan Untuk Da'ie

Berdakwah dengan bermuka masam, di banding cuka, masam lagi mukanya, tambah lagi pakej suka menembak nembak mad'u tanpa ulasan ilmiah yang sebaiknya, inilah dia golongan yang menjauhkan manusia dari Islam. Senyum itu sedekah, apa salahnya berwajah ceria, menaut hati dengan kemesraan dan kelembutan. Ini tidak, senyum di balas jelingan, apakah ini sifat mu wahai da'ie?

Maksud Sabda Rasulullah SAW :
“ Sesungguhnya sifat lemah lembut tidaklah berada pada sesuatu kecuali akan membuatnya indah sesuatu tersebut dan tidaklah sifat lemah lembut dicabut dari sesuatu kecuali akan membuat sesuatu tersebut menjadi buruk ”
(HR : Muslim)

Bersikap kaku, keras dan kasar tindak menggambarkan akhlak seorang Muslim, ianya tidak membantu bahkan menjauhkan sasaran daripada keindahan Islam yang sebenar, sangatlah rugi jika seorang da'ie perilakunya jauh dari sifat ar Rifq.

Kelembutan Tidak Menghalang Ketegasan

Ketegasan itu tidak semestinya perlu dipakejkan dengan kekerasan, jika ini fahamannya, ia jauh tersasar. Ketegasan yang di isi dalam kelembutan sebenarnya lebih menusuk, teknik memasukkan ketegasan dalam kelembutan ini bahkan bisa menonjolkan gaya kepemimpinan yang hebat.

Menasihati mad'u dengan cara membina tautan hati, lantas menyelitkan unsur ketegasan akan batas - batas syariatullah lebih berkesan kerana manusia itu fitrahnya sukakan kebaikan, cuma tipu daya syaitan yang mengelabui mata dan hatinya daripada kebenaran.

Membina Kehidupan Bersandarkan ar Rifq

Khilafah Islamiyyah itu memerlukan kasih sayang untuk melengkapkannya. Bi'ah yang perlu di bentuk dalam pemerintahan Islam adalah berteraskan kasih sayang dan kesantunan. Keharmonian tidak mampu di capai dengan kekerasan dan kekasaran, manusia akan tertekan dengan hal begitu.

Membentuk khilafah yang harmoni, ar Rifq perlu di terapkan pada akarnya lagi. Baitul Muslim, yaitu pembinaan rumah tangga Islam yang harmoni perlu di bentuk, inilah asasnya. Kebahagiaan dan kesejahteraan Baitul Muslim akan tercapai dengan sikap saling mengerti, saling melengkapi, berlapang dada dan rempah ratusnya pasti tidak cukup jika ar Rifq itu tiada.

Kehidupan sangat indah sebenarnya jika di hiasi dengan sifat mulia ini, akan terasa kelompongan tanpanya. Manusia perlu sedar, yang Allah itu sangat menyukai sikap berlembut sebegini, ianya sesuatu yang sangat di tuntut.

“ Sesungguhnya Allah adalah Maha Lembut lagi mencintai kelembutan. Dia memberikan pada sifat kelembutan yang tidak diberikan kepada sifat kekerasan, dan tidak pula diberikan kepada sifat-sifat yang lainnya ”
(HR : Muslim)

Kasar itu lahirnya dari ego, dan ego itu tidak perlu ada dalam diri Muslim yang sejati, ingat, tegas itu bukan kasar, tegas itu bukan juga ego, tinggalkanlah sikap yang tidak perlu, usahakanlah apa yang sepatutnya ada...

Ada satu lagu yang menarik, ana kongsikan, satu amanah jagalah ia, sebagai khalifah kejarlah cintaNya...untuk sahabat2 dan teman...



p/s : Menghiasi peribadi diri untuk menghiasi peribadi yang lain, menjadi khalifah yang di pimpin untuk memimpin :)

~ Ijtima' Tarbawi - Satu Perkongsian ~

Bismillah...

Segala puji buat Maha Suci Allah, pencipta maya pentadbir dunia. Selawat dan salam buat Muhammad Rasulullah SAW, dengan nurnya kita diterangi.

Keletihan dan kepenatan mengembara, dengan bertemankan beg yang agak besar oleh kerana kembara kali ini pasti lama, langsung hilang pabila tiba disambut sapaan mesra di Rusila. Ya, ana ke Rusila untuk mengikuti Ijtima' Tarbawi Pemuda PAS beberapa waktu yang lepas, dan baru sahaja berkesempatan berkongsi di alam maya.

Perkongsian ini berbentuk perkongsian perjalanan, bukanlah menjurus kepada ilmiah, jadi ia lebih kepada pengalaman. Ana teruskan, tiba sahaja, walaupun pastinya yang datang itu dari seluruh Malaysia, ramai yang tidak pernah pun berjumpa selama ini, akan tetapi dek kerana semangat ukhwah antara pejuang Islam yang hadir, maka tidak langsung terasa janggal, bahkan bagai sudah kenal lama antara masing2.

Dapat dilihat dari setiap yang hadir, gelojak perasaan dan wajah yang mencerminkan dahaganya pada tarbiyyah, maka tepatlah Ijtima' kali ini bertemakan tarbawi. Datang dari seluruh Malaysia, ada yang bermalam dalam kereta, ada yang berkhemah di tepi pantai, ada yang tidur berjamaah di dalam masjid Rusila dan masjid2 berhampiran, ada yang menumpang di rumah sahabat, itulah suasana selama 3 hari 2 malam, tiada sungutan walau kesesakan tempat.

Yang hadir masing2 faham apa itu erti kesabaran dan kesusahan, kerana perjuangan Islam sememangnya mengajarkan erti ketabahan dan keperitan. Rasulullah SAW dan para sahabat tidak berjuang dengan ditemani kereta2 mewah, tidak dilindungi istana seolah dari kayangan, tidak di bekal wang ringgit yang melimpah ruah, dan PAS tidak seperti pihak lain dalam mengajar pejuangnya bergerak. Pejuang kerana Allah tidak lansung sama dengan pejuang kerana dunia!.

Masing2 datang dari seluruh pelosok negara, ada petani, ada nelayan, ada peniaga, ada jurutera, ada doktor, ada peguam, namun semuanya sama sama turun kebawah, dan saling memahami tanggungjawab masing2. Tidak seperti sesetengah kelompok yang hanya bergerak dalam kalangan mahasiswa dan intelektual, seolah olah makcik dan pakcik di kampung itu bukan sebahagian dari mereka, idealisme yang melangit langit, sampai lupa berpijak di bumi nyata, rugilah mereka!

3 hari 2 malam, sarat dengan pengisian yang penuh makna. Ruh tarbiyyah menusuk ke dalam sanubari, dan benarlah, PAS dan tarbiyyah sememangnya tidak akan dapat dipisahkan. Dengan tarbiyyahlah kita mampu mara terus, dengan tarbiyyahlah kesatuan dapat dibentuk, dan dengan ruh tarbiyyahlah membantu menyuburkan spirit2 yang mula luntur.

Mengkhatamkan tafsir al Hujurat bersama Tuan Guru Presiden, berforum bersama Ulama', tokoh pejuang, dan sebagainya membawa pelbagai erti dalam diri setiap yang hadir. Kehadiran pimpinan memberi taujihat makin membangkitkan semangat setiap pejuang. Tidak ketinggalan wakil Ikhwanul Muslimin yang merangkap ahli parlimen Mesir telah turut hadir bagi menjulang perjuangan PAS dalam menegakkan Islam di Malaysia. Tidak begitu pelik jika wakil2 dari gerakan Islam seluruh dunia mengiktiraf PAS sebagai gerakan utama di Malaysia, kerana memang sejak dari dahulu lagi PAS di beri penghormatan sebegini, hanya yang buta saja tidak mahu mengakui!.

3 hari 2 malam kami tidak henti2 di suntik dengan semangat tarbiyyah, tidak lekang perkataan tarbiyyah dalam setiap ucapan pembentang dan pemidato, sesungguhnya tidak dapat dinafikan ruh tarbiyyah mahu diterapkan dalam diri setiap yang hadir, tinggal kita saja yang mahu mengamalkan atau sebaliknya. Namun, 3 hari 2 malam itu tidak hanya di isi dengan pidato tentang tarbiyyah, bahkan setiap saat dan ketika sewaktu di sana sememangnya menyuntik ruh tarbiyyah, tidak kiralah semasa makan, tidur dan sebagainya.

Ana hanya mampu mengucap syukur, kerana kesempatan telah diberi olehNya untuk menyertai Ijtima' Tarbawi kali ni, sungguh, jika mahu dikatakan penat, memang penat, akan tetapi sewaktu meninggalkan Rusila, jauh dilubuk hati merasakan, " perlukah aku tinggalkan Rusila? "...sememangnya meninggalkan Rusila menjadi sesuatu yang berat, tempat di mana ruh tarbiyyah dan perjuangan di suntik kembali.

Sedikit perkongsian gambar :

( Sohibus Samahah Dato' Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang merasmikan Ijtimak Tarbawi Pemuda PAS Peringkat Kebangsaan )

( Saf kepimpinan yang diiktiraf sebagai Murabbi kepada anak - anak muda yang menyertai Jamaah Islam ini . [ Tuan Guru Hj Abdul Hadi , Tuan Guru Dato' Tuan Ibrahim , Tuan Guru Hj Yahya Othman dan al Ustaz Abu Bakar Chik )

( Sohibus Samahah Tuan Guru Mursyidul Aam PAS memberikan nasihat dan tunjuk ajar yang cukup mengesan di jiwa )

( Asy Syeikh Dr Abdul Maqsud Muhammad Askar Ahli Parlimen Mesir dari Ikhwanul Muslimin Tanta turut hadir utk memenuhi keperluan tarbawi dan membimbing peserta )

( Tuan Guru Haji Yahya Othman sedang dipimpin turun dari pentas Ijtimak . Beliau agak uzur kerana faktor usia namun masih bersemangat untuk melihat Tarbiyyah kembali marak )

( Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz & Ketua Dewan Pemuda PAS pusat, Ustaz Nasruddin Tantawi )

( Dato' Seri Tuan Guru memimpin tafsir al Hujurat sehingga khatam dalam tempoh 4 jam )

DEKLARASI IJTIMA' TARBAWI

1) Bertekad memperkasakan tarbiyah dengan memahami dan melaksanakan program tarbiyyah secara berterusan dan konsisten didalam Dewan Pemuda PAS di seluruh peringkat.

2) Menjadikan tarbiyyah merentasi tanzim, dengan erti kata nilai-nilai tarbiyyah akan menguasai dan mengorientasikan seluruh kegiatan lajnah dan jemaah.

3) Memperkukuhkan program usrah diseluruh peringkat sebagai asas dan akar kepada semua program kepartian dan politik yang lain.

4) Demi pemerkasaan tarbiyyah di dalam dewan pemuda, maka kita sebagai peserta program ijtima’ tarbawi 2010 bersetuju untuk mengadakan program ijtimak tarbawi sebagai acara tahunan.

5) Menyokong konsep kepimpinan ulama’ dan mempertahankannya untuk menerajui parti PAS sebagai sebuah gerakan Islam yang memayungi umat islam di Malaysia.

6) Membina diri dan syakhsiah dengan terus mendalami ilmu-ilmu islam mengikut acuan Al-Quran dan as-Sunnah serta hikmah para ulamak dan pejuang Islam di sepanjang zaman.

p/s : Siapa kata PAS hanya sebuah parti pOlitik? :)


p/s : Pening memilih tarikh yang tepat @_@ ~

~ Kiamat Sudah Dekat ~

Bismillah...

Alhamdulillah wa syukurlillah, segala puji dan syukur buat Raja segala Raja, Allahu Rabbul 'Alamin. Selawat dan salam buat baginda junjungan, Muhammad Rasulullah SAW.

Kalau bicara tentang hal yang satu ini, ramai berminat. Tetapi ramai sekali yang berminat dengan tarikh berlakunya Yaumul Akhir, bukan apa yang perlu dipersiapkan utk menghadapinya.

Etnik Hopi yaitu peribumi Amerika dalam Hopi Prophecy meramalkan kiamat bakal berlaku pada 2012, begitu juga ramalan dari Nostradamus serta ramalan Bangsa Maya. Menariknya mereka semua tidak saling bergantungan antara satu sama lain, tidak sezaman dan tidak setempat, adakah ini satu kenyatan atau kebetulan?

Terbaru, saintis telah menjangkakan akan tercetus Solar Flare pada 2013 yang bakal melumpuhkan teknologi di bumi. Sebelum ini Solar Flare dalam skala kecil telah berlaku pada 1989, yang mana ia telah menyebabkan sebuah stesyen jana kuasa di Kanada tidak berfungsi. Satu lagi kejadian Solar Flare dalam skala yg lebih besar adalah pada tahun 1859, langit menjadi kemerah merahan.

Ada 2012, ada 2013, hakikatnya kedua tarikh itu hampir saja, adakah ia kebetulan atau sekadar tekaan?.

Sebenarnya ana tidak mahu menjadi Nostradamus kedua, meramal masa berlakunya kiamat, kerana baginda Rasulullah SAW sendiri tidak memberitahu secara tepat masanya. Namun, Rasulullah SAW tidak berdiam diri soal petanda2 yang menunjukkan Kiamat itu hampir.

Hadith daripada Huzaifah bin Asid Al-Ghifari ra, maksudnya :
" Datang kepada kami Rasulullah saw. dan kami pada waktu itu sedang berbincang-bincang. Lalu beliau bersabda: "Apa yang kamu perbincangkan?". Kami menjawab: "Kami sedang berbincang tentang hari qiamat". Lalu Nabi saw. bersabda: "Tidak akan terjadi hari qiamat sehingga kamu melihat sebelumnya sepuluh macam tanda-tandanya". Kemudian beliau menyebutkannya: "Asap, Dajjal, binatang, terbit matahari dari tempat tenggelamnya, turunnya Isa bin Maryam alaihissalam, Ya’juj dan Ma'juj, tiga kali gempa bumi, sekali di timur, sekali di barat dan yang ketiga di Semenanjung Arab yang akhir sekali adalah api yang keluar dari arah negeri Yaman yang akan menghalau manusia kepada Padang Mahsyar mereka "
(HR : Muslim)

Itu tanda besar, masih ada yg kecil2, boleh dikatakan hampir semua yang kecil telah berlaku. Berikutan petanda yang diberikan, sememangnya besar keperluan utk kita bersedia. Yang mana sudah lama memulakan langkah, bagus, yang tidak lagi bermula masih belum terlambat.

Soal Kiamat, sesetengah pemikir barat bertungkus lumus berfikir akan bagaimana kehidupan selepas itu, sebahagian daripada mereka beranggapan akan ada manusia yang terselamat dan memulakan kehidupan baru pada zaman berikutnya, maknanya bermula dari kosong, seperti zaman batu dahulu. Bahkan sekarang ada pihak yang telah mempersiapkan diri dengan membuat satu pusat penyimpanan rasmi benih2 tanaman terpilih dari seluruh dunia. Pusat penyimpanan ini dibina dibawah permukaan salji, menelan belanja beratus juta.

Adakah ini semua perlu?

Ana tidak menafikan semua ini perlu, perlu bagi mereka yang mempercayai segala ramalan dan pandangan yang tidak di dasari al Quran dan as Sunnah.

Awal pembicaraan ana menekankan soal tahun 2012, 2013 dan kejadian Solar Flare yang semuanya dikaitkan dengan Kiamat. Akan tetapi semua itu sebenarnya tidak ada dasarnya dalam al Quran dan as Sunnah, ia hanya ramalan dan ramalan itu sentiasa datang dan pergi. Orang kata Nostradamus banyak meramal perkara betul, terutama peristiwa2 besar, namun masih banyak ramalannya yang tidak benar. Bahkan ramalan yg benar itu pun tidak secara tepat dinyatakan, ia mungkin saja mentaliti kita yang melihatnya seakan benar.

Unsur kebetulan tidak dapat ditolak, dan Islam tidak berdiri atas dasar kalau2 atau kebetulan saja. Sesungguhnya hal tentang berlakunya Kiamat itu hanya pada pengetahuan Allah, bahkan tahun2 dan tarikh2 yang disebutkan itu jika di amati berdasarkan pandangan Islam, ia tidak bertepatan.

Maksud firman Allah SWT :
" Mereka menanyakan kepadamu tentang kiamat: “Bilakah terjadinya?” Katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan tentang kiamat itu adalah pada sisi Tuhanku; tidak seorangpun yang dapat menjelaskan waktu kedatangannya selain Dia. kiamat itu Amat berat (huru haranya bagi makhluk) yang di langit dan di bumi. kiamat itu tidak akan datang kepadamu melainkan dengan tiba-tiba”. mereka bertanya kepadamu seakan-akan kamu benar-benar mengetahuinya. Katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan tentang bari kiamat itu adalah di sisi Allah, tetapi kebanyakan manusia tidak Mengetahui "
(al A’raf : 187)

Namun, satu hakikat yang perlu diakui, dan tidak dapat ditolak adalah memang sesuatu yang benar jika dikatakan Kiamat sudah dekat.

Kini masanya untuk kita menyiapkan bekal2 utk hari Pengadilan nanti, bukan menyiapkan diri dengan menyimpan benih2 tanaman. Kini bukan pula masanya utk kita menjadi kelam kabut dek kerana ramalan2 yang tidak nyata itu, tetapi sibukkanlah diri dengan amal soleh yang berterusan.

Akhirnya, setelah bicara soal Kiamat, mungkin kita terasa gundah, tetapi mungkin juga adanya mereka yang merasa sedikit kelegaan kerana ramalan2 berlakunya Kiamat itu tampaknya tidak benar, ana mahu bertanya sedikit soalan mudah...

Jika kita kerisauan dek kerana Kiamat, apakah kita tidak risau dan lupakah ada perkara yg lebih hampir dengan kita?

Jika kita merasa sedikit lega dek kerana ramalan2 berlakunya Kiamat itu tidak benar, apakah kita lupa kita tak sepatutnya merasa demikian?

Jangan begitu!, kerana MAUT itu sentiasa hampir, ia datang tanpa RAMALAN, ia juga boleh datang tanpa sedikit pun TANDA!

Sekarang, KIAMAT atau MAUT yang kita risaukan?...jawapannya subjektif, BERSEDIALAH!, jangan tunggu nyawa dikerongkong baru mahu ingat Allah, jangan pula menunggu Dajjal muncul baru mahu bertaubat, ana undur dulu...

p/s : Ijtima' Tarbawi pemuda PAS, salah satu persediaan buat pejuang Islam yang mahukan Islam memerintah dunia, juga salah satu persediaan menambah bekal utk MAUT dan KIAMAT ~ Jom!