.:: WaDi aL QuRRa' ::.

BISMILLAH... IQRA!.. AFHAM!.. AMAL!... Dunia ini adalah perlembahan yang subur dengan ilmu YANG MAHA KUASA... Jika bukan kita yang mengusahakan dan menuainya... Siapa lagi yang lebih berhak?...

~ Benarkah Kita Pejuang ? ~

Bismillah...

Maksud firman Allah SWT :

" Tidaklah sama antara Mu'min yang duduk (yang tidak turut berperang) yang tidak mempunyai uzur dengan orang yang berjihad di jalan Allah dengan harta mereka dan jiwanya. Allah melebihkan orang-orang yang berjihad dengan harta dan jiwanya atas orang-orang yang duduk satu darjat. Kepada masing-masing mereka Allah menjanjikan pahala yang baik (syurga) dan Allah melebihkan orang-orang yang berjihad atas orang yang duduk dengan pahala yang besar. (Yaitu) beberapa darjat daripada-Nya, ampunan serta rahmat. Dan adalah Allah SWT Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."
an Nisa' : 95-96

Alhamdulillah wa syukurlillah, segala puji dan kesyukuran buat maha suci tuhan sekalian alam, yang besarNya tiada ukuran, gahNya tiada sempadan, kuasaNya tiada tepian. Selawat dan salam buat nabi junjungan, pembawa rahmat sekalian alam, Muhammad Rasulullah SAW.

Seorang sahabat bertanya kepada ana satu soalan, dan soalannya adalah berkisarkan tentang perjuangan, dan tentulah ini bukan perjuangan menegakkan kebatilan sepertimana yang dilakukan pihak2 tertentu yang sanggup menjadi lembu pabila boleh mempertimbangkan penghalalan judi bola kononnya demi kemaslahatan negara, tetapi ana rasa lembu pun lebih baik kerna senyap saja tidak bersuara, apapun alhamdulillah dengarnya telah ditarik balik cadangan ini, cuma judi bola saja yang ditarik, judi lain?, masih halal.

Maksud firman Allah SWT :

" Sesiapa yang menurut jalan yang lain dari apa yang disyariatkan Allah sebagai agamanya, maka tidak sekali-kali akan diterima daripadanya..."
Ali Imran : 85

Berbalik kepada sahabat tadi, sebenarnya ramai bertanya soalan sama, cuma ana baru sahaja teringatkan hari ini kerna diperingatkan kembali, jadi suka untuk ana kongsikan. Soalannya mudah ;

" Bagaimana bila berhadapan dengan tuntutan keluarga, lebih tepat lagi permintaan ibu bapa, yang meminta supaya tidak terlibat secara serius dengan perjuangan menegakkan ISLAM, oleh kerana bimbangkan keselamatan "

bagaimana itu?, soalannya sangat mudah dan simple tetapi hakikat segala sesuatu di dunia ini, jawapannya saja yg payah dicari bukan?.

Setiap kali berhadapan dengan situasi soalan yang 'pelik2' begini, ana juga jadi termotivasi untuk bertindak balas secara pelik, perlu melihat kepada maqamnya si penanya, jika dia sememangnya pejuang tegar, ana akan kata, baru mahu tanya soalan begini?, sudah berapa lama kamu berjuang?, dan biarlah yang bertanya itu berakal sendiri mencari jawapan. Namun, jika ia seorang yang mahu mula berjuang dan terlibat dalam konflik begini, lainlah jawapannya pula.

Maksud sabda Rasulullah SAW

"Sesungguhnya ketaatan itu pada kebaikan."
HR : Muttafaq Alaih

Jadi untuk itu, kepada yang mahu mula berjuang, jawapan ana begini. Mentaati perintah Allah dan Rasul adalah apa yang akan menyempurnakan segala yang lompong, jika Allah dan Rasul menuntut kita berjuang menegakkan Islam, maka segala apa yang berlawanan dengan itu akan melompongkan amalan kita. Begini sahabat, jika mentaati ibu bapa itu juga adalah perintah Allah dan Rasul, tetapi perintah ibu bapa tidak mutlak sepertimana perintah Allah dan Rasul, jadi jika ianya berlawanan antara satu sama lain makanya ia perlu diperbetulkan, sebaiknya perjelaskan dengan hikmah.

TUGAS KITA!

Tidakkah pernah kita terfikir, jikapun kita berjuang untuk Islam tanpa pengetahuan ibu bapa(Sebaiknya dengan pengetahuan dan restu), ia tetap akan menjadi amal soleh yang di ambil kira Allah, dan secara langsungnya membantu ibu bapa kita, kenapa?, kerna saham daripada amal soleh kita, perjuangan kita, ketegaran kita dalam menegakkan 'izzah Islam, itu semua bukan perbuatan sia2, bahkan ibu bapa kita akan mendapat dividennya daripada mana pelaburan itu, ya sahabat sekalian, semakin perit perjuangan, semakin banyak dividen yang diperoleh ibu bapa kita, tidak mahukah kita berbakti sedemikian terhadap dua insan yang sangat kita sayangi?.

Menjadi tanggungjawab dan tugas kita untuk memahamkan perjuangan Islam kepada seluruh ahli keluarga. Yang mana keluarga telahpun jelas erti perjuangan, syukurlah, namun bagi yang belum, ia tanggungjawab kita. Jika tidak kita, siapa lagi yang mahu kita harapkan?. Silap jika mengabaikan keluarga dalam berjuang, bahkan ia sesuatu yang sangat aneh sebenarnya jika kita sibuk berdakwah ke sana ke mari, namun keluarga sendiri tidak pernah dibacakan sepotong hadith. Memang situasi dalam keluarga kadang2 menjadi kesukaran buat para pejuang, namun, gunalah pendekatan yg berhikmah, tunjukkan sahsiah yang mulia, supaya kita mendapat tenpat dan perhatian ahli keluarga yang lain, tunjukkan, inilah yang aku dapat dari perjuangan Islam!.

Maksud firman Allah SWT :

" Dan berilah peringatan kepada kerabat-kerabatmu yang terdekat "
asy Syu'ara : 214

BI'ADAB' BUKAN BIADAP!

Jangan pula suka melabel dan memperkecilkan ibu bapa jika mereka tidak faham erti perjuangan, inilah sebenarnya boleh menjadikan kita anak yang derhaka!. Fahamkan dengan pendekatan BI 'ADAB'(dengan adab) bukan BIADAP!. Pernah suatu ketika di satu surau yang tidak mahu ana sebutkan tempatnya, seorang pakcik menegur seorang kanak2 yang sedang solat, sujudnya salah, langsung di 'serang' oleh pakcik itu dengan suara yang kuat,

" Mana kau belajar sujud, cikgu kau tak ajar ke cara sujud, macam anjing! "

Nah, jika begini pendekatan dakwah yang digunakan, tidak hairanlah sekarang lebih ramai mat rempit dari mat surau!. Begitu jugalah, tidak betul jika ingin memberi kefahaman kepada ahli keluarga yang lain, terutamanya ibu bapa kita dengan pendekatan biadap dan tiada peringkat2 tertentu, ia perlu dilakukan dengan penuh hikmah dan tidak terus memaksa, tadarruj atau beperingkat itu perlu dalam mengajak ke arah kebaikan.

Disebutkan dalam al Muwafaqat, kisah di mana Khalifah Umar Abdul Aziz menjawab persoalan anaknya yang bertanya kenapa bertangguh dalam melaksanakan urusan pemerintahan Islam, maka jawapan amirul mukminin adalah ;

Maksudnya :

" Jangan kamu terburu-buru wahai anakku, sesungguhnya Allah mencela arak dalam al Quran sebanyak dua kali. Dan mengharamkannya pada kali yang ketiga. Sesungguhnya aku bimbang menanggung kebenaran secara keseluruhannya, lalu mereka menolak seluruhnya dan menimpa fitnah "

Sebagai abnaul jamaah, menjaga hubungan dengan keluarga sangat penting, salah kiranya jika berjuang sampai mengabaikan keluarga. Membiarkan keluarga terkontang kanting sedangkan ia tanggungjawab kita. Meluangkan masa, bermesra, dan berkongsi rasa antara ahli keluarga, terutamanya dengan ibu bapa juga adalah tugas kita, jangan kata tiada masa, kerna itu hanyalah alasan semata. Rasulullah SAW, seorang Rasul, ketua kerajaan, panglima, ulama, dan sebagainya sempat saja meluangkan masa untuk keluarga, begitu juga arkitek dakwah zaman moden ini, as Syahid Imam Hassan al Banna, jua amat memetingkan keluarga, jadi siapa saja kita untuk mengatakan tidak sempat?, mana baitul muslim yang sering di war warkan jika keluarga di ketepikan?...sedangkan baitul muslim itu asas sebuah daulah Islamiyyah.

Maksud sabda Rasulullah SAW :

" Setiap kalian adalah pemimpin, dan setiap pemimpin akan diminta pertanggung jawaban atas yang dipimpinnya "
HR : Bukhari

MEMILIH TENANG BERBANDING SENANG

Kata Ibnu 'Athoillah, maksudnya :

" Tenangkanlah jiwamu daripada urusan kepentingan dunia, kerana segala sesuatu yang sudah dijanjikan oleh Allah, janganlah engkau turut memikirkannya "

Dalam berjuang ada saja yang lesu dan akhirnya futur, sering mempersoalkan bebanan yang dipikul seolah sahabat lain tiada beban. Perlu di ingat setiap manusia ada ujiannya, ada bahagiannya, tampak tenang bukan ertinya tiada masalah, tetapi mungkin biiznillah ia mampu mengawal masalahnya dengan baik dan tenang, ia bukan SENANG, tetapi TENANG!, jika mahu senang jangan bicara soal perjuangan, tetapi jika mahukan ketenangan maka perjuangan adalah antara jalannya.

Maksud firman Allah SWT :

" Barangsiapa yang berserah diri (tawakal) kepada Allah, nescaya Dia akan memenuhi keperluannya."
at Thalaq : 3

Sahabat yang dikasihi, usah selalu dan terlalu merenung ujian yang menimpa, tetapi fikirkanlah penyelesaiannya, pohonlah bantuan Allah. Tiada apa yang dapat diperoleh dengan meratap, menyebut dan berfikir sahaja akan masalah yang dihadapi tanpa tindakan yang sepatutnya. Ingatlah tiada kesenangan dalam berjuang, tetapi ketenangan akan diperoleh jika kita mahukan, cuma mencapainya perlu ada bahagian yang mesti dipenuhi.

Maksud sabda Rasulullah SAW :


" Seandainya kamu semua bertawakal sepenuhnya kepada Allah, nescaya kamu akan memperolehi rezeki bagaikan rezeki burung-burung yang pada waktu pagi berkeadaan lapar dan kembali ke sarangnya (di waktu petang) dengan perut kenyang "

HR : at Tirmidzi

MENCAPAI ISTIQOMAH

Maksud firman Allah SWT :

" Maka kamu mestilah istiqomah dan janganlah kamu mengikut orang-orang yang tidak tahu "
Yunus : 189

Berjuang tanpa istiqomah, ibarat menuang air di atas daun keladi, tiada hasilnya. Istiqomah dalam perjuangan akan membuahkan ketenangan yang dicari. Perjuangan yang laju mulanya, kendur di tengahnya, futur akhirnya adalah hasil daripada kegopohan mahu hasil yang cepat, bertindak di luar kawalan, terlalu idealistik tanpa berfikir soal praktikaliti. Ber 'idea' sangat baik, merancang sangat dituntut, namun jangan terlalu memaksa keadaan, kurang bijak jika begitu tindakannya.

Kata Sheikhul Islam Ibnu Taimiyyah :

" Sebesar besar karomah adalah memegang istiqomah! "

Istiqomah itu usaha yang berterusan, sedikit2 dan berperingkat, janganlah jika berniaga modal RM 1000 hari ini, esoknya terus mahu untung RM 1 juta!. Namun dalam mencapai istiqomah, ada perkara lain pula yang perlu di ambil kira ;

IKHLAS!

Maksud firman Allah SWT :

" Dan tidaklah diperintah kepada mereka melainkan mereka mengabdikan diri kepada Allah dengan ikhlas dalam menjalankan perintah agama dengan lurus."
al Bayyinah : 5

Ikhlas adalah antara salah satu perkataan yang sering terkeluar dari bibir pejuang Islam, perkataan ini sgt senang dan mudah disebut, namun dari segi pelaksanaan, ia adalah salah satu perkara yang paling sukar dalam kehidupan. Menyebut ikhlas sedangkan hati merasa terbeban oleh tugas, rasa tiada penghargaan yang diperoleh, rasa dipinggir manusia, rasa tidak berbaloi apa yang diterima berbanding sumbangan kita selama ini, Allahu Allah, ikhlas hanya dibibir!, sedangkan salah satu petanda ikhlasnya seseorang, ia tidak begitu dikenali, hadir atau tidak ia di dalam sesuatu majlis tidak disedari, namun sumbangannya melangkaui apa yang dijangka. Mengharapkan pandangan manusia jatuh kepada diri akan menjauhkan pandangan Allah dek kerana berguguran ikhlas jatuh ke tanah.

Maksud sabda Rasulullah SAW :

" Sedikit daripada sifat riak itu adalah syirik. Maka sesiapa yang memusuhi wali Allah nescaya sesungguhnya dia memusuhi Allah. Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berbakti dan bertakwa serta yang tidak dikenali ramai akan hal ehwal dirinya. Jika mereka tidak ada dan hilang (ghaib) dalam mana-mana majlis, mereka tidak dicari, dan jika mereka hadir pun di situ mereka tidak begitu dikenali ramai. Hati nurani mereka seumpama lampu petunjuk yang akan menyuluh mereka keluar daripada tempat yang gelap gelita "
HR : Hakim

Orang yang ikhlas tidak akan merungut jika dipandang jauh oleh manusia, namun hatinya akan cukup terasa bila pandangan tuhan mula menjauh. Orang yang ikhlas tidak akan merungut dalam berjuang, terus dan terus sehingga menggapai syurga Allah!.

Kata Hujjatul Islam, Imam al Ghazali :

" Semua manusia sebenarnya celaka, kecuali orang yang berilmu. Ilmuwan itu pun celaka, kecuali mereka yang benar-benar mengamalkan ilmu mereka. Dan yang disebutkan terakhir itu pun celaka, kecuali mereka yang menghiaskan diri dengan sifat ikhlas "

SABAR!

Maksud firman Allah SWT :

" Wahai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu, kuatkanlah kesabaran kamu dan tetap bersedia dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu berjaya."
ali Imran : 200

" Sabar itu cantik ", ana sangat suka menyebut ayat ini. Perlu sabar baru cantik!, dan cantik yg dimaksudkan ana adalah akhlak. Akhlak orang yang sabar sangat menawan, ana melihatnya!, dan ana cuba mengikuti akhlak mereka yang sabar, usaha untuk menjadi lebih baik supaya dapat memberi yang terbaik!. Ya, dalam menggapai ketenangan dalam berjuang, kita perlu istiqomah, dan mahu istiqomah perlu pula ikhlas dan sabar.

Maksud Sabda Rasulullah SAW :

" Dan sesiapa yang bersabar, maka Allah akan menjadikan dirinya penyabar, dan tiada pemberian yang (Allah) berikan kepada seseorang yang lebih baik dan lebih luas (manfaatnya) daripada kesabaran "
HR : Bukhari & Muslim

Menahan sabar dalam setiap perkara amat payah, namun sabar bukan hal yang mustahil, ia hanya perlu di didik dan di ajar. Menahan marah, menahan lapar, menahan dahaga, ia semuanya mampu melatih sabar. Namun sabar ada lawannya, sebagai manusia, kita sering meraikan lawannya ini iaitu EGO!. Manusia yang ego sabarnya sangat tipis, orang kata manusia perlu ada ego sedikit, bagi ana manusia tidak perlu ada ego langsung, yang layak bersifat ego hanyalah yang maha perkasa, Allah Rabbul 'alamin!. Manusia hanya perlu ada ketegasan dan prinsip, ia tidak sama dengan ego. Tegas mempertahankan Islam tidak sama dengan ego mempertahankan Islam. Ego hanya akan membuahkan penyakit hati, merasa diri hebat dari yang lain, mula dengan sedikit, lama2 membukit, akhirnya mahu melawan tuhan.

KEMBALI KE LANDASAN!

Memilih perjuangan adalah dituntut, namun dalam berjuang sangat byk rempah ratusnya bagi menjadikan perjuangan itu benar2 membawa kita mencapai mardhatillah. Melihat ujian dan dugaan sebagai masalah adalah sikap yang salah dalam berjuang, ia perlu dipandang sebagai tarbiyyah dari Allah untuk kita lebih kuat dan matang. Manusia akan sentiasa ditakuk lama jika tiada ujian baru, ia akan merasa selesa dalam 'comfort zone'. Islam agama yang menuntut perubahan ke arah yang lebih baik setiap masa, jika kita sentiasa dengan perangai lama sering merungut soal ujian, apakah benar kita seorang pejuang Islam?

Jika sikap masih belum berubah, nampaknya landasan kita silap, kita tidak sesuai untuk berada di medan perjuangan. Namun, jika tidak landasan perjuangan, kita mahu landasan mana lagi?, berubahlah kerna itu kewajiban, kembalilah ke landasan wahai pejuang!

Maksud sabda Rasulullah SAW :

" Jauhilah tujuh perkara yang boleh membinasakan kamu. Para Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah! Apakah tujuh perkara itu? Rasulullah bersabda : Mensyirikkan Allah, melakukan perbuatan sihir, membunuh manusia yang diharamkan oleh Allah melainkan dengan hak, memakan harta anak yatim, memakan harta riba,lari dari medan pertempuran dan menuduh zina terhadap perempuan-perempuan yang baik, yang tidak memikirkan untuk melakukan perbuatan zina serta beriman "
HR Bukhari & Muslim

p/s ; Entry ini nampaknya terlebih panjang, siap ja menulis ana tgk jam, oh dah lebih pukul 4 pagi ?...sangat tidak perasan, atau adakah ana sekarang menghadapi sindrom terkeliru dengan waktu pula?...oh no! :D

1 comments:

KAJIAN SEMASA MENGENAI PERKEMBANGAN WAHABBI DI MALAYSIA, sila google tajuk-tajuk seperti di bawah ini:-

(a) http://www.mediafire.com/?ne2dmyeinzo
(b) Jaringan Wahabbi Sdn Bhd
(c) Jom Kenali Dr Maza & Co
(d) Ahlul Bait Yang Dicerca
(e) Tok Ayah Zid Kedai Lalat
(f) Kuasa Tiang Kepada Cita-cita
(g) 40 Mutiara Hikmat Serambi Mekah