.:: WaDi aL QuRRa' ::.

BISMILLAH... IQRA!.. AFHAM!.. AMAL!... Dunia ini adalah perlembahan yang subur dengan ilmu YANG MAHA KUASA... Jika bukan kita yang mengusahakan dan menuainya... Siapa lagi yang lebih berhak?...

~ 'DUA' yang Wajib Ada ~

Bismillah...

Firman Allah SWT :
" Hai manusia, sesungguhnya Kami menjadikan kamu dari seorang laki-laki dan seorang wanita, dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya saling mengenal. Sesungguhnya orang mulia di antara kamu di sisi Allah adalah orang yang paling bertakwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui Lagi Maha Mengenal "
al Hujurat : 13

Segala puji kepada Maha Suci Allah, tuhan sekalian alam, pentadbir maya, pencipta segala yang ada. Jangan pula di lupa selawat dan salam buat baginda tercinta, Muhammad Rasulullah SAW.

Sepurnama lebih bergelar suami, agak merata juga dating bersama, semakin faham dari tahu, semakin sayang bertambah sayang. Kenyataan ini bukan untuk menggoda teman2, tetapi untuk menukilkan apa yang dirasa, semoga sayang ini memantapkan lagi sayang kami kepada Allah. Zawjati habibati memang degil dan nakal, ada saja yang mahu dikenakan, tak masuk lagi bab merajuk, tetapi itu semua bagi ana, menambahkan lagi sayang dan mempelbagaikan rencah rumahtangga :)

Maksud sabda Rasulullah SAW :
" Barang siapa tidak menyayangi manusia, Allah tidak akan menyayanginya "
HR : Tirmidzi

Ini bukan surat cinta, ini hanya nukilan biasa. Diri dan teman tanpa nukilan dan ingatan akhirnya akan menjadi tin kosong yang senang di lambung lambung. Bercakap soal hati dan perasaan, saling menyayangi itu satu pelengkap keimanan. Tanpa sayang ada di hati jangan mengaku diri beriman.

Maksud sabda Rasulullah SAW :
Tuntutlah ilmu,sesungguhnya menuntut ilmu adalah pendekatan diri kepada Allah Azza wajalla, dan mengajarkannya kepada orang yang tidak mengetahuinya adalah sodaqoh. Sesungguhnya ilmu pengetahuan menempatkan orangnya dalam kedudukan terhormat dan mulia (tinggi). Ilmu pengetahuan adalah keindahan bagi ahlinya di dunia dan di akhirat.”
HR : ar Rabii’

Ana sambung lagi, ada sayang di hati pun belum cukup syaratnya untuk mengaku beriman, kita masih jauh lagi. Sayang sahaja akan luntur mengikut masa dan keadaan. Sayang sahaja bukan penentu kebahagiaan, kerana janji Allah sudah tegap tercatit dalam kitabNya

Maksud firman Allah SWT :
" Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan mengatakan " Kami telah beriman ", sedangkan mereka belum diuji? "
al Ankabut : 2-3

Mahu sayang kekal dan berpanjangan, mahu iman cekal dan tegar, maka ada dua lagi perkara dalam banyak perkara yang perlu ada dalam diri. Ana sebut dalam tajuk nukilan ini 'DUA', maka dua saja akan di bincangkan. Secara khususnya 'DUA' ini perlu ada untuk mengekalkan sayang, umumnya pula 'DUA' ini perlu ada untuk menjaga Iman. 'DUA' ini selalu di dengar namun jarang di amal, SABAR dan SYUKUR gerangannya.

Maksud sabda Rasulullah SAW :
 " Iman terbahagi dua,separuh dalam sabar dan separuh dalam syukur "
HR : al Baihaqi

Ujian dan dugaan pasti hadir dalam mana-mana bahagian kehidupan pun, jaminan 100% ana berikan. Saat ujian dan dugaan datang inilah di panggil waktu kritikal, dan ubat penenangnya tidak lain dan tidak bukan, SABAR dan SYUKUR. Inilah ramuan rahsia menjadikan diri sentiasa tenang dan redha, senyum dikala senang, senyum juga dikala musibah.

Allah itu sifatnya Maha Pengasih dan Maha Penyayang, pastinya apa saja ujian dan dugaan yang di datangkan adalah untuk mendidik hambanya menjadi lebih kuat dan bersedia, menjadikan lebih mantap keimanan padaNya. Formula senangnya dalam menghadapi kekusutan jiwa dan perasaan adalah renungkan kembali bahawa Allah juga memiliki sifat as Salam melalui salah satu namanya, kesejahteraan dan ketenangan.

Bagaimana menggunakan formula ini, tidak susah sebenarnya, dekatkan diri pada Allah dan jangan sesekali jauhkan diri dariNya. Semakin dekat kita denganNya maka semakin enak kesejahteraan dan ketenangan itu dirasa. Apapun dugaan yang tiba, insyaAllah kita mampu hadapi dengan senyuman.

Masalah sering timbul dalam banyak keadaan, tidak kira persahabatan, percintaan, rumah tangga, pekerjaan dan sebagainya kerana 'DUA' perkara yang di sebut sebelum ini tidak diterapkan dan disuburkan dalam diri. Tanpa SABAR dan SYUKUR, maka susah sebenarnya untuk kita redha dan senyum dalam setiap keadaan. Kita sering memikirkan kenapa dan kenapa, mempersoalkan keadaan yang berlaku, tidak rela, tidak redha!

Ana suka untuk menyebut satu analogi keras, Iblis disingkir dari syurga kerana tindakannya mempersoalkan kejadian Nabi Adam AS, dengan kata lain mempersoalkan qada dan qadar Allah. Jadi bagaimana pula keadaan kita apabila suka mempersoalkan setiap yang terjadi pada kita, bukan mahu menyelesaikan masalah, bahkan menambah kusut fikiran dan keadaan. Ana mahu tanya, jika itu keadaanya diri kita, tidakkan sama dengan Iblis laknatullah? soalan kasar dari ana, Ibliskah kita?...ana undur dulu...

p/s : tak sabar nak dating kat ZOO melaka :p
p/s2 : dua dua demam, dua dua selsema, dua dua batuk, dua dua suara "ROCK"...dua hati satu rasa :D