.:: WaDi aL QuRRa' ::.

BISMILLAH... IQRA!.. AFHAM!.. AMAL!... Dunia ini adalah perlembahan yang subur dengan ilmu YANG MAHA KUASA... Jika bukan kita yang mengusahakan dan menuainya... Siapa lagi yang lebih berhak?...

Islam Datang Dengan Maksud, Bukan Dengan Bentuk

Bismillah...

Alhamdulillah wa syukurlillah, cinta dan kasih buat Tuhan yang Mencintai, demiNya aku hidup, dan demiNya aku mati, demiNya dan keranaNya kita masih disini. Selawat dan salam buat baginda yang dicintai, cinta yang sebenar pabila sunnah dijunjung, bukan kasih dimulut tapi perilakunya bejat, sunnah entah kemana, syariat entah kemana, alih2 mengaku cinta Allah dan Rasul?

Kali ini ana jadi tercuit dengan kata2 Abraham Maslow iaitu :

" Jika peralatan yang ada pada kamu hanyalah sebatang tukul, kamu dengan mudah akan melihat setiap masalah sebagai paku. "

Sungguh, kata2 ini begitu mencuit hati ana ketika mana melihat keadaan ummat Islam. Prinsip tukul dan paku ini begitu sinonim dengan ummat Islam sekarang disebabkan sikap dan perangai yang rigid serta beku. Biasanya begitulah sikapnya pabila kita di beri tukul, perkara yang biasanya akan terlintas difikiran adalah paku, tiada yang lain, seolah tukul itu hanya boleh di gunakan untuk mengetuk paku sahaja?. Pemikiran sebeginilah yang tidak seharusnya berlaku, dan kita ummat Islam perlu membuka minda dan berani mengolah kegunaan tukul itu. Satu lagi sifat buruk si tukul ini, ia suka benar mengetuk, semua pihak yang tidak sependapat terus saja mahu diketuk2, ah, si tukul yang comel.

Sekarang, bermacam fikrah sudah terbentuk dan dibentuk, tidak lupa bilangan jamaah juga semakin bertambah, itu semuanya dasarnya amal Islami. Jika mahu bicara soal ta'adud jamaah, ana telahpun bebelkan sebelum ini, dan kini ana tidak mahu bebel buat kali kedua kerna ada perkara lain yang mahu disampaikan. Kepelbagaian buah fikiran telah mencorakkan warna kepada dunia kini, dan khususnya buat dunia Islam.

Islam itu akan benar2 nampak rigid jika penganutnya tidak membawa Islam yang sebenar. Seringkali pertelingkahan soal perbezaan pendapat ini terjadi, bahkan soal bagaimana memakai serban pun boleh cetuskan huru hara, belum kira lagi soal berapa rakaat solat sunat tarawih, sampaikan ada yg empat imam satu masjid. Ah, ini semua bukan berlaku di zaman kita saja, bahkan al Imam as Syafie Rahimahullah sendiri pernah difitnah dan di pukul oleh ahli khianat si Sohul serta rakan2 Fityan yang jahil diebabkan perbezaan pendapat serta dengki, bahkan Imam yang empat, semuanya pernah merasai kesan fitnah akibat kejahilan, termasuk jugalah perkembangan Ikhwanul Muslimin, yang begitu berat pada langkah mulanya akibat daripada pemahaman Islam yang kaku oleh ummat Islam yang hanya memahami Islam dari konteks agama semata, bukan cara hidup.

Maksud firman Allah SWT :
" Wahai orang2 yang beriman, masuklah Islam secara kaffah (menyeluruh) dan janganlah kamu mengikut jejak syaitan, sesungguhnya (syaitan itu) adalah musuh yang jelas bagi kamu. "
al Baqarah : 208

Ada golongan yang kata, tahlil, talqin dan amalan2 yg disifatkan tradisional itu bida'ah, ada pula golongan yg mengatakan semua itu bukan bida'ah, dan ada juga golongan yang lebih istimewa mengatakan, peduli saja semua itu, hidup di dunia mesti enjoy. Ana sendiri pening dengan benda2 begini, tetapi pening ana bukanlah kerna permasalahan yang berlaku, cuma ana jadi pening kerana kelakuan si pelakunya. Kalau sini tembak, sana pun tembak, kalau sana menyorok, sini tembak juga, kalau sini dan sana sama2 menyorok, datang pula pihak ketiga tembak kedua2 pihak...oh...ana pening!

Lagi ceritanya, ada yang kata jika mahu menjadi Muslim sejati jalannya mesti begini2, ada pula pihak yang lain kata kalau mahu jadi Muslim sejati jalannya mesti begitu2. Dan ana angkat lagi permasalahan ini ke satu tahap dimana, ada pihak yang kata jika mahu tegakkan daulah Islamiyyah, jalannya mesti macam ni!, fikrahnya mestilah begini jika mahu Islam mencapai izzah! disamping itu ia sedang mempromosikan penyatupaduan dan meraikan perbezaan pendapat, persoalan ana, tidakkah ia sesuatu yg pelik bila dalam satu waktu ia mengangkat tinggi2 fikrahnya dan menjatuhkan fikrah yang lain tetapi pada masa yang sama ia mempromosikan perbezaan pendapat dan penyatupaduan?

Kalian membaca pun sudah rasa pening bukan, ana pun sama2 pening, tapi tidak mengapalah, ana mahu terus lagi. Islam datang dengan maksud, bukan dengan bentuk, apa maksudnya?. Begini, suatu hari anda di minta memasak tomyam ayam untuk sepuluh orang makan, alat2 dan bahan2nya anda sudah arif benar sehingga pejam mata pun tomyam ayam itu akan jadi kenyataan, akan tetapi kebiasaannya anda masak untuk seorang makan, jadi memasak untuk sepuluh orang berbanding seorang pasti berbeza kuantiti bahan2nya bukan? atau sama saja? jika anda jawab ya makan anda sudah pandai memasak, jika jawapannya tidak, anda perlu belajar memasak lagi :)

Inilah yang ana mahu sampaikan, analogi tomyam itu mahu ana kaitkan dengan tajuk posting di atas, apakah boleh menggunakan kuantiti sama untuk mendapat hasil yg berbeza?...semacam inilah yang berlaku jika umat Islam terlalu rigid dan tidak pernah mahu berubah sedangkan thabat wal murunah itu salah satu sifat Islam, tetap pada prinsip dan fleksibel dari segi pelaksanaan. Sepertimana keadaan mahu memasak tomyam tadi, bahan2nya untuk memasak tomyam pastinya bahan2 yang khusus, ia perlu menggunakan rempah untuk tomyam bukannya rempah untuk gulai, maknanya ia perlu juga thabat dengan rempah tomyam, akan tetapi kuantiti bahan2 itu perlu di ubah mengikut keperluan, maknanya ia perlulah bersifat fleksibel.

Islam juga begitu, kandungan Islam itu sama sekali tidak boleh diubah, penetapan dan kalam dari Allah dan RasulNya jangan sesekali dibantah, Ingatlah pesan Abu Musa al Asy’ari dengan katanya :

" Sesungguhnya al Quran ini adalah pahala bagi kamu dan dosa atas kamu. Maka ikutilah al Quran dan janganlah al Quran mengikuti kamu. Kerana sesiapa mengikut al Quran maka ia meletakkan dia ke dalam taman Syurga manakala sesiapa yang diikuti oleh al Quran maka dia dicampakkan ke dalam Neraka. "

Maksud firman Allah SWT :
" Kemudian jika kamu berbantah bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya. "
an Nisa' : 59

Itulah perkara yang tetap dan tidak boleh lagi diubah2, namun, dalam masa yang sama, untuk mencapai sesuatu tujuan, Islam juga agama yang membenarkan fleksibeliti dalam mencapai sesuatu maksud, sepertimana ia mengambil kira 'uruf, kepentingan awam dan lain2 dalam menetapkan hukum. Inilah juga bila kita mahu perkatakan soal pembentukan fikrah, yang sepatutnya jika mahu mempromosikan soal keterbukaan dan penyatupaduan, soal ini perlu dikehadapankan. Fikrah yang begitu rigid tidak akan mampu melahirkan minda yang terbuka, itu masalah utamanya. Jika kita kata fikrah Imam Hassan al Banna itu sesuatu yang benar2 kompeten dan sesuai untuk masa ini, maka itu memang benar! akan tetapi, pengolahan untuk menyesuaikan ia dengan keadaan dan tempat mesti juga berlaku, sebagaimana fikrah itu sendiri sememangnya bersifat fleksibel. Kenapa ana katakan begitu?...kerna kita bukannya mahu mengambil pokok kurma dari mesir dan mahu menanamnya di kebun kelapa sawit lah...:)

Kata Ibnu Khaldun dalam kitabnya, al Muqaddimah :

" Manusia itu dijadikan berbeza dari segi bahasanya, adatnya dan budayanya. Setiap kaum mempunyai sifat2 tersendiri, adat setempat dan sudut pandangan semesta yang tersendiri "

Minda perlu bergerak seiringan dengan semangat perjuangan jika mahukan Islam mencapai izzah, Islam itu sendiri didatangkan dengan maksud yang terlalu mulia demi kesejahteran seluruh penganut bagi mencapai redha Allah. Islam bukan datangnya dengan bentuk seolah ia tidak langsung mampu bergerak mengikut zaman dan keperluan, bahkan ia di datangkan dengan maksud yang mulia untuk melahirkan sesutu yang mulia. Kita jangan terlalu rigid dalam menilai Islam sehinggakan hanya nampak Islam itu solat, puasa, zakat dan haji semata, sedangkan ia merangkumi seluruh cara hidup dari bersiwak hinggalah berjihad fisabilillah, sekecil2 kecil perkara hinggalah sebesar besar perkara.

Apalagi jika dikira bentuk fikrah yang diolah manusia?...ia lebih2 lagi perlu keterbukaan dan kefleksibelitian, jika tujuannya seluruh fikrah Islami pastinya sama, iaitu menggapai keizzahan Islam, namun caranya masing2 berbeza, itu tidak mengapalah, pandai2 pilih yang terbaik, namun amatlah silap jika sesutu fikrah itu di ambil bulat2 tanpa ada pengolahan untuk kesesuaian tempat dan keadaan, inilah yang terjadi sehinggakan begitu ramai pejuang yang mengaku berjuang tetapi hakikatnya kosong kefahaman. Jika mahu menyelam di laut, jangan pula memakai pakaian ragbi, jika berada di restoran Arab, jangan pula memesan asam pedas. Oh, mana mungkin tujuan akan di capai jika pemikiran begitu?

Penegasan ana dalam hal ini adalah, ke anjalan Islam dalam mencapai maksud itu perlulah dipromosikan secara benar, janganlah terikat dengan sesuatu yang akhirnya merugikan diri sendiri, sistem yang ada sentiasa boleh dibaiki, fikrah yang telah tersusun rapi itu perlulah di dokongi dan di perhalusi lagi agar ia bergerak sesuai dengan tempat dan keadaan. Islam datang dengan maksud supaya seluruh manusia mencapai redha Allah, bukan dengan bentuk yang membuatkan fikiran jumud dan terus beku tanpa usaha ke arah pembaharuan. Jangan sekadar berkata dan mempromosikan idea demi sokongan, sebaliknya cubalah terjun ke medan sebenar.

ps : Alhamdulillah ana sempat mengkuti Konvensyen Hassan al Banna tempoh hari di Uniten, dan tulisan ini ada secara umum dan tiada pengkhususan, ini pusingan pertama, mungkin ada pusingan kedua yang lebih khusus untuk Kobanna...insyaAllah..:)

~ Mawar Ku? ~

Bismillah...

Allah itu tuhan kita, kasih dan sayangNya sentiasa bersama, setiap detik dan waktu, setiap masa yang berlalu, cintaNya terus terusan mengiringi, adakah kita hamba yang benar2 sombong, sehingga mahu mengucap sedikit tahmid pun perlu menunggu waktu selepas solat atau selepas kenyang?...ucaplah sekarang!...Alhamdulillah!. Buat baginda rasul junjungan insan mulia, cintanya kepada ummat sampai ke akhir, tidak pula lupa walaupun sakit sakaratul maut menghimpit, namun kita ummat yg kononnya cintakan rasul, mahu selawat pun perlu diingatkan berulangkali!...selawatlah sekarang!.

Dulu2 ana pernah menulis tentang mawar, tapi dulu ana tanya Mawar Siapa?, namun dulu dan kini sentiasa berubah, kerna at taghyir atau perubahan itu kewajipan untuk kita sebagai Muslim, ya, ia wajib bagi kita untuk berubah, berubah ke arah yang lebih baik, berhijrah ke destinasi yang akan lebih menunjukkan kita sebagai muslim sejati. Ana cuba berubah, dan ana rasa ia 'mungkin' lebih baik, bagaimanapun lebih baik itu sgt sedikit nilainya jika dibandingkan perubahan QURRA' dan sahabat sekalian, tidak tertanding ana, jika mahu bicara, ana seakan kura2 yg masih merangkak merangka perubahan kerna kedhaifan diri terlalu dalam, sedangkan sahabat dan QURRA' disekeliling adalah seakan arnab yg laju meninggalkan ana di belakang...Allahu Allah.

Kini ana menulis pula menyahut sedikit perubahan, sudah ana katakan, perubahan ana terlalu lambat dan sedikit, makanya jika dulu tajuknya Mawar Siapa?, kini ia berubah menjadi Mawar Ku?. Jika dulu ia terlalu fantasi, maka sekarang ana cuba ubahkan menjadi sedikit realiti, realitinya ada kerna ia berpijak dibumi nyata dan tidakklah melayang layang ke puncak kayangan. Maka izinkanlah ana berceloteh, keizinan dari Allah harapan ana, semoga dipermudahkan.

********

Mawar ku yang asli kelopaknya menawan hati, dengan bukaan dan mekarnya ia menarik pandangan siapa saja, putera raja? petani? pengurus?...sebut saja. Benar sekali, si mawar yang asli tidaklah sama dengan si mawar tiruan. Sifat si tiruan itu zahirnya cantik namun hakikatnya tiada harga, warnanya terang menghiasi meja2 si pemilik, namun kosong tanpa makna dan kehidupan. Lain pula si mawar asli, serlahan mekar warnanya yang menambat hati setiap yang memandang itu seolah gambaran kecantikan akhlak, duri2 tajam dari batang hijaunya yg segar itu membayangi keteguhan memegang syari'atullah, ya, itulah si mawar asli yang sifatnya tidak menipu, ia menghadirkan seribu hikmah dan itulah mawar ku...mawar ku?

Mawar asli itu menjadi pilihanku, kerna ku tahu, ia bakal membawa kebaikan, kebaikan untukku juga untuk agamaku, itu yang aku andai dan fikirkan, benarlah begitu bukan?. Dulu, aku mencari2, banyak yang aku jumpai, di kiri ada, di kanan pun ada, semuanya yang asli, aku jadi terpesona, namun aku tidak tergoda. Pernah juga aku jumpai mawar tiruan, aku jadi simpati, mungkinkah yg tiruan boleh berubah menjadi yang asli?...hakikatnya tidak, namun aku katakan pada diri, kuasa Tuhan yang mati pun boleh hidup kembali, inikan pula yang tiruan mahu menjadi asli, pasti boleh juga. Secara sendiri, aku lebih sukai yang asli, namun jika yang tiruan itu berubah menjadi asli, aku pasti suka juga, aku suka bukan tergoda.

Kerna fitrahnya aku sangat suka pada kecantikan, pastilah mawar menjadi pilihan, kerna mawar bagiku simbol kecantikan zahir dan batin, akhlak dan iman, pekerti dan budi. Suatu masa, disebalik rimbunan pohon2 belukar yang memenuhi taman, juga di lindungi oleh mawar2 tiruan, aku lihat ada sepohon mawar asli, indah!. Mawar itu buat jiwaku bergelora, aku terpesona bukan tergoda, mawar itu aku cuba dekati, namun ia bukan sesuatu yang mudah kerna durinya sentiasa melindungi. Aku tidak pernah kenal apa itu putus asa, aku cuba lagi, dan aku lamari sekuntum mawar pujaan, aku tuturkan seikhlas hati dan aku beroleh jawapan yang di inginkan hati...Alhamdulillah.

Ku cuba menjaga mawar itu, dan yang utamanya ku usahakan agar perasaanku turut terjaga, susah, namun aku telah mulakan, kenapa perlu aku takut. Aku bahagia, mawar itu juga bahagia, ia semakin mekar dan durinya semakin tajam, aku suka begitu kerna dgn sendiri kami masing2 akan lebih terjaga dari belaian dunia. Dalam kebahagian itu, aku sentiasa ingatkan yang kebahagiaan itu jika tidak dijaga dan dikawali dgn baik akan membawa kepada kemusnahan. Kemusnahan itu pastinya akan membawa kemudhoratan yang amat besar untuk hati dan perasaan.

Tiba masanya, aku lepaskan mawar itu dari pandangan mata, ya, aku lepaskannya dari mataku bukan hatiku, ia terbang tinggi di bawa angin, mawar itu punya tujuan lain demi menyahut seruan dan tuntutan agama, aku redha dan kami redha. Mulanya aku takut, tetapi akhirnya aku menyedari betapa besar hikmahnya keadaan itu walaupun berjauhan, sehingga kini, hikmahnya masih tidak putus2 dapat di gali. Syukur, ia semuanya kehendak Tuhan yang kuasa. Aku sujud kepadaNya kerna aku hamba, dan Dia sentiasa melihat dengan pandangan Tuhan, membuat aku kuat, dan mawar ku juga kuat...Alhamdulillah.

Suatu ketika, suatu waktu, sepertimana nikmat yang diterima itu mudah diperoleh, begitu jugalah jika Dia mahu menarikknya kembali. Mawar yang aku cuba bajai, sirami dan kasihi itu, mulanya terbang dan aku cuma lepaskan dari mata bukan hati, kini, keadaan dan situasi sudah lain, terpaksa jua ku lepaskan dari hati, bukan kerna sesiapa, tetapi kerna ada percaturan yang lebih besar. Bukanlah mudah melepaskan sesutu yang disayangi, bukanlah mudah melepaskan sesuatu yang dicintai, dan bukanlah mudah melepaskan sesuatu yg telah dibayangi satu ikatan. Suatu ikatan yang dibina kerna akidah, dan dijagai dengan tuntutanNya kini perlu dibuka simpulan jua kerna tuntutanNya. Aku mulanya keliru, kerna aku tidak pernah membayangi semua ini, ya, jujurnya aku tidak pernah bercita2 sebegini, namun ia berbeza kini...

Gelora perasaan dan hati siapa yang tahu, anda? kamu?...pastinya tidak merasa seperti yang aku dan mawar ku rasa, kerna ia bukan satu percaturan biasa. Setelah beberapa kali ku rebah, ku cuba bangun sendiri, namun tiada kudratnya, berkali kali aku cuba bangun, sama saja, tidak mampu. Namun suatu masa, ketika mana ku cuba menggali hikmah, ada suatu pesanan dariNya yang aku dapati, satu pesanan yang terlindung di sebalik beribu ribu pesanan yang lain, dan selain untukku, semoga pesanan ini manfaatnya berguna buat semua yang diluar sana, ingatlah wahai QURRA' sekalian, panggilan yang sebenar bukanlah MAWAR KU, akan tetapi...MAWAR NYA!...kini aku pohon supaya aku beroleh MAWAR NYA, ya, inilah yang lebih tepat, aku bangun kembali...:)

********

Sedarlah wahai sahabat, kita tidak memiliki apapun di dunia ini, janganlah sesekali menganggap sesutu nikmat dan kurnia itu milik kita, kerna ia bakal membawa kekecewaan yang besar nanti, dan ia juga bahkan mungkin menjerumuskan kita ke lembah yang melalaikan, ingatlah, SEMUA MILIK-NYA, BUKAN MILIK KITA...DAN MAWAR KU TIADA DALAM KAMUS ALAM KECUALI MAWAR-NYA, BEGITU JUGA TIADA KUMBANGKU KECUALI KUMBANG-NYA...wallahu'alam, ana undur dulu...

~ Ku Hulurkan Tangan ~

Bismillah...

Alhamdulillah wa syukurlillah, segala puji dan kesyukuran kepada Allah SWT, tuhan yang Esa, haram disyirikkan dan haram di bantah syariatNya, jika masih lagi terasa diri sedang melawan tuhan, bertaubatlah sebelum dihumban, Allahu Allah. Buat baginda junjungan, Sayyidina Muhammad Rasulullah SAW, teruskan berselawat dan dokongi sunnahnya, ini buat insan2 yang lemah, bagi insan2 yang hebat, tidak perlulah, anda bisa menongkat langit.

Lama benar ana tidak berfiksyen, insyaAllah, rasanya kali ini hati tercuit melakarkan sesuatu, satu fiksyen ringkas tetapi nyata, tidak perlulah ana panjang lebarkan lagi, izinkan ya Allah...

********

Saiful memandang langit, ramalan cuaca menujukkan petang ini mendung, nyata perkiraan manusia kadang2 begitu hebat, hujan mampu diramal, mendung mampu diramal, bahkan salji juga mampu diramal. Hati kecilnya berkata, " adakah selepas ini manusia mampu mencipta alat meramal kematian pula? "...Saiful diam dalam kesejukan syita', Kaherah sekarang begitu menguji jiwa kehambaan, ada manusia yang ibadahnya sebelum ini begitu tegar dan kuat, namun kini lesu diulit nafsu. Dalam menungnya, Saiful bangkit, sedar perlakuan itu kurang manfaat, al Quran dicapai, tilawah dimulakan dengan basmalah.

Alunan ayat2 al Quran yang di baca begitu menggentarkan hatinya, satu bahagian Allah menunjukkan cintaNya sehingga Saiful lupa akan segala cinta yang tercipta di dunia, leka, menghayati bait2 cinta dari tuhan yang Esa, hatinya lalu berbunga2 menyedari kebesaran dan keindahan cinta yang sebenar, nada bacaan mendayu dayu dilagukan Saiful. Hanyut dengan cinta tuhan, kitab suci ini juga tempatnya menyedarkan manusia, tiba di bahagian penceritaan azab dan neraka, hatinya luluh mengenang dosa dan kesilapan lalu, " apakah aku bisa menempah syurga dan menghindari nerakaMu ya Allah! "...hatinya berbisik, terasa seperti ditusuk2 sembilu, alunan ayat azab dan neraka Saiful keraskan bagi mengingatkan hati yang lesu.

********

Di satu sudut lain negara yang terkenal dengan panggilan Ardul Kinanah itu, terpanggil juga dengan bumi anbiya', namun dalam masa yang sama masih terkenal dengan bumi firaun, secara tidak langsung ia menzahirkan fitrah kehidupan manusia, fitrah penciptaan Tuhan yang Esa, ada malam ada siangnya, ada murah ada mahalnya, ada baik ada buruknya, ada Adam ada Hawa nya, dan ada Firaun ada Musa-nya. Penghuni Bayt Fatimah az Zahra di kota Iskandariah sedang asyik ber muroja'ah kitab2 muktabar demi menyahut tuntutan yang Esa agar merperkayakan ilmu. Letaknya kota pelancongan dan pelabuhan ini tidak lebih 250 kilometer ke utara Kaherah, kira2 2 jam perjalanan menaiki bas dari Kaherah dan 3 jam jika menaiki kereta api, merupakan bandar kedua terbesar di Mesir serta amat sinonim dengan pantainya yang indah dan menjadi tumpuan ramai di waktu shayf atau musim panas nanti.

Dalam keasyikan dengan kitab2 yang ilmunya semakin dihadam semakin dhaif diri terasa, Nur Ibtisam yang sesuai dengan namanya itu, mudah tersenyum, mudah juga membuat sahabat tersenyum, berkat nama yang baik dari kedua ibu bapa, kali ini seakan hilang senyumnya bersamaan hilang juga tumpuannya terhadap kitab2 di hadapan. Tidak terperasankan sahabat yang lain, Ibtisam kini sedang hanyut di alamnya yang sendiri, mindanya tertumpu akan suatu perkara, ya, terhadap satu ayat pada pesanan ringkas di talifon bimbitnya kelmarin, " Ana masih menunggu... ". Ayat penamat pesanan itu cukup menekan jiwa seorang mujahidah, datang pula oleh seorang yang benar2 disegani sedari awal persekolahan di Malaysia lagi, siapa tidak kenal Saiful Mujaheed, Ketua Badan Dakwah di sekolahnya, juga selaku Presiden Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir.

Kisah ini bukanlah satu kisah yang telah lama disimpan oleh kedua pejuang ini, Nur Ibtisam dan Saiful Mujaheed sememangnya sudah kenal lama, cumanya, kisah lamaran ini hanya dimulakan oleh Saiful sebulan yang lepas melalui wakilnya keluarga Ustaz Hasrizal dan Ustazah Khadijah selaku pimpinan Unit Mutazawwijin Iskandariah, dan desir perasaan mereka hanyalah bermula ketika mana Saiful memulakan langkah, dan langkah itu bukan kerana di ulit nafsu yang gila, tetapi disandarkan keyakinan pada janji Pencipta, Ya, 'hubungan' mereka dibina kerna mahu membina sesuatu yang lebih besar untuk hari mendatang, langkah mula telah di hayun, kini langkah seterusnya, Allah lebih tahu pengakhirannya. Ragu dan gelisahnya Ibtisam bukanlah kerna dia punya pilihan yang lain, akan tetapi ragunya kini adalah kerna khuatirnya pada dirinya yang hina disisi tuhan, mampukah ia berdiri disamping seorang mujahid dan menyokong perjuangan lillahita'ala, mampukah dia menjadi hamba yang lebih baik jika menyahut lamaran ini, atau akan hanyut dan menghanyutkan pasangannya dengan belaian duniawi, Allahu Allah, persoalan ukhrawi yang difikir, bukannya khayalan duniawi yang pastinya sementara dan merosakkan.

********

Hiruk pikuk kota Kaherah sememangnya tidak kenal erti syita' atau shayf, bingitan bunyi hon dari pelbagai jenis kenderaan sememangnya bagai mahu menggegar kota, ia sudah sinonim benar dengan negara benua Afrika ini, jika tiada bunyi hon, maka itu yang sebenarnya harus dikhuatirkan. Saiful kini sedang bergegas mahu ke Khan el Khalili atau Souq Husien, letaknya pasar yang terkenal menjual pelbagai barangan itu adalah berhampiran masjid Saidina Husien, berada diseberang Masjid al Azhar. Saiful menggunakan lintasan bawah tanah yang menghubungkan Masjid al Azhar dan destinasi tujuannya, deras sekali langkahan saiful dek kerana jam sudah menunjukkan pukul 11:03 pagi, sedangkan janjinya dengan seorang sahabat adalah pukul 11 pagi, " al waqtu kas saif illam taqtho'hu qatha'aka!, masa itu pedang, jika kamu tidak memotongnya maka ia akan memotongmu! " ...hati kecilnya terus menerus mengulang bait kata Saidina Ali, sememangnya waktu bagi Saiful teramatlah berharga, cuma di pertengahan jalan tadi ia teserempak dengan seorang tua yang sedang diserang migrain, lalu diusahakan untuk menghantar hamba Allah itu ke Rumah Sakit yang berhampiran.

Sampai saja berhadapan dengan Souq Husien, tempat yang dijanjikan untuk bertemu senior yang juga sahabatnya, anak matanya liar memandang kawasan sekitar...lega, Saiful mengucapkan tahmid, syukur kerna dia tidak membuat sahabatnya tertunggu tunggu. Selang beberapa minit kemudian bahunya ditarik, ucapan salam diterima dan mereka saling berpelukan, Ustaz Nasrullah ataupun panggilan Saiful padanya akhi Nasrul akhirnya tiba. Usai dua sahabat ini bertegur sapa dan bertanya khabar, Saiful memulakan persoalan mengenai agenda Ustaz Nasrullah mengajakknya bertemu, sedikit hairan kerna Ustaz Nasrullah bukanlah seorang yang punya masa yang byk terluang, selaku pelajar Universiti al Azhar peringkat Master takhassus Syariah Islamiyyah, juga selaku ahli perniagaan yang berjaya, pastinya tidak banyak masa yang boleh diistilah masa senggang. Ustaz Nasrullah sememangnya mewarisi bakat dan kebolehan bapanya iaitu seorang usahawan hartanah bumiputra yang sangat berjaya di Malaysia. Di Kaherah pula, jika terdapat kedai2 makan masakan Melayu, tanya sahaja siapa pemiliknya, pasti nama Nasrullah bin Siddiq akan menjadi jawapan.

" Anta cuba lihat pasar itu Saiful, apa yang anta nampak?...cuba bagitahu ana..." Ujar Ustaz Nasrullah.

" hrmm...ana nampak ramai orang, dan yang pastinya bising tawar menawar itu sedikit mencuit hati ana, ana juga tahu di pasar ini jika masuk ke bahagian lebih dalam harga akan lebih murah...kenapa ya akhi? " Jawab Saiful santai.

Ustaz Nasrullah menyambung kata...
" Saiful, ana tahu anta kini di tahun akhir pengajian, dan ana dengar anta mahu sambung lagi disini untuk peringkat master ya?..."

" InsyaAllah jika ada kelapangan dan rezeki ya akhi " Balas Saiful yakin.

" Kalau benar begitu, anta tidak terdetikkah, untuk menjadi seperti saudara kita yang berniaga di Pasar itu? " Soal Ustaz Nasrullah.

" Begini, ana sebenarnya yakin dengan anta, dengan bakat kepimpinan yang anta ada, jua bakat kesusasteraan kurniaan Allah kepada anta, ana ingin menawar peluang... " Ustaz Nasrullah dengan nada serius menunjukkan wibawa seorang ahli perniagaan...

Saiful terkesima...
" Peluang apa ya akhi?? "

Perbualan semakin hangat, langkah mereka berlegar disekitar Souq Husien kemudian beransur ke Masjid al Azhar, mengambil berkat Masjid yang berusia lebih seribu tahun itu dan telah dibina semasa pemerintahan Khalifah Muiz Lidnillah, pada zaman Fatimiyyah.

Sambil membelek belek kitab Fiqh al Islami wa Adillatuh jilid kedua, karya ulama' terkenal zaman ini yang turut menghasilkan Tafsir al Munir iaitu Syeikh Wahbah Zuhaily di sudut bacaan rumah sewanya, Bayt al Qurra', fikiran Saiful masih lagi dibayangi tawaran dari Ustaz Nasrullah tadi. Sememangnya itu adalah kehendaknya, cita2nya memang mahu yang sebegitu, dipanjatkan doa kepada Allah supaya dibuka ruang perniagaan buatnya agar mampu membiayai hidup di bumi Mesir ini demi meneruskan pengajian untuk peringkat master selama beberapa tahun lagi, juga pastinya untuk membiayai kehidupan berkeluarga, jika diizinkanNya. Ustaz Nasrullah menawarkan Saiful peluang untuk membuka syarikat penerbitan buku, menerbitkan karya2 pelajar Malaysia di sana, juga jika dia ingin berkarya, Ustaz Nasrullah sudi membiayai kosnya, untungnya, akan akan dibahagi mengikut nisbah asas 50 : 50 dan mungkin dia akan mendapat lebih jika perniagaannya laju. Tawaran dari seorang yang terkenal dengan thiqahnya itu, di tambah pula ia seiringan dengan doa yang dipanjatkan, akhirnya Saiful mantap menaip sesuatu di talifon bimbitnya, " Ana setuju, semoga usaha kita dapat membantu mahasiswa Malaysia disini, juga mendapat rahmat dan keberkatan dari Allah SWT " ...pesanan di hantar ke nombor Ustaz Nasrullah.

********

Kira2 250 kilometer dari Kaherah, Ibtisam termenung di balkoni Bayt Fatimah az Zahra, menikmati angin dingin syita', tangannya memeluk erat tubuhnya demi menghangatkan badan. Matanya kini tertumpu ke arah pantai Mandarah, ia sememangnya amat indah. Kalau di musim panas, berderetanlah payung2 di tepi pantai, pelancong asing dan tempatan datang berjemur, dan kalau mahu berjemur, yang menariknya, untuk duduk di kerusi dan khemah kawasan pantai itu berbayar, tidak seperti di tanah air Malaysia, semuanya percuma. Walaupun pantai Mandarah tidak seindah pantai di Matruh yang merupakan salah satu pantai tercantik di dunia, ia masih tetap istimewa di hati Ibtisam, hati kecilnya berbisik, " sungguh! keindahan alam ciptaan Allah ini sememangnya memukau jiwa2 yang mahu menghayati, namun lebih ramai yang suka untuk mengingkari dari mengakui " , Allahu Allah. Indahnya segala ciptaan Tuhan Yang Kuasa, begitu jugalah indahnya perasaan kurniaan Allah kepada manusia, dan salah satu perasaan yang paling indah yang dikurniakan adalah mencintai dan dicintai.

Dalam keheningan raut wajah Ibtisam, mahu atau tidak, suka atau kecewa, tenang atau gusar, satu jawapan harus di sampaikan kepada Ustazah Khadijah dan juga Saiful Mujaheed. Sejujurnya, jiwa Ibtisam amat resah untuk membuat pilihan, namun itu pada mulanya, kini setelah meluahkan segala yang terbuku kepada sahabat di Bayt Fatimah az Zahra, berbincang dengan orang tuanya di kampung halaman, dan paling utama, setelah bersungguh2 mengharapkan pandangan Allah melalui istikharahnya, jawapannya telah ada dan hanya menunggu masa untuk disampaikan. Ibtisam senyum sendiri melihat kereta kuda yang membawa muatan pisang melintasi jalan berhampiran, senyumnya membawa seribu makna, senyumnya mempamirkan jiwa yang tabah, senyumnya membayangkan keteguhan dan keyakinan jawapan yang bakal disampaikan nanti, tangannya mencapai talifon bimbit, menaip pantas, " Salam, setelah mantap dgn pilihan hati, sampaikan kepada Saiful Mujaheed, boleh tetapkan tarikh untuk ta'aruf " ...butang sent ditekan...syukur alhamdulillah, ucapan tahmid bergema di dalam sanubarinya.

********

Saiful, sungguh dia salah seorang insan yang di beri kelebihan, bukan sahaja pada keilmuaannya, bukan sahaja pada kepimpinannya, bahkan mempunyai daya juang yang cukup tinggi. Tidak cukup dengan itu, rezekinya datang mencurah curah, maqbul doanya kerna keberkatan dan rahmat Allah, semuanya kurniaan Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Persatuan Mahasiswa Islam di Mesir begitu sistematik dan pantas bergerak dengan gaya kepimpinannya yang jitu, akademiknya cemerlang, dan pastilah insan sebegini ramai peminatnya, namun, pilihan hatinya nun di Iskandariah sana, Nur Ibtisam bt Hj Abdullah, puteri kepada Ulama' terkenal di negeri Serambi Makkah, Tuan Guru Hj Abdullah al Kalantani, Mudir dan pengasas sebuah pondok moden yang terkenal di nusantara. Saiful masih belum mendapat berita dari keluarga Ustaz Hasrizal dan Ustazah Khadijah, dan kini dia sedang menunggu satu lagi jawapan yang bakal mengubah hidupnya.

Dengan ciri2 sebegini, masa depan Saiful Mujaheed tampak cerah, dan kini dia juga punya peluang untuk merealisasikan impianNya demi menyahut seruan sunnah, memulakan perniagaannya dengan bantuan Ustaz Nasrullah. Namun pabila dikatakan segala Nikmat itu hak mutlak Allah, pastinya ramai yang bersetuju, akan tetapi pabila ia di tarik amat sedikit yang boleh meredhai, seakan semua nikmat itu dia yang punya. Tidaklah Saiful di tarik nikmat2 yang telah tersebut itu, namun sesuatu yang cukup2 bermakna baginya kini semakin hampir dia kehilangan.

Saiful kini gusar menanti, Seharian dia berada Di Hospital Universiti Ain Shams, setelah rebah semalam di kamarnya, dia di bawa ke hospital oleh ahli Bayt al Qurra' yang lain. Doktor Hassan datang memegang sesuatu di tangan, dan menyerahkah kepada Saiful, Saiful kini berharap akan hadirnya sinar harapan setelah diberitahu pada awalnya kemungkinan besar ia menghidap kanser otak. Sampul laporan perubatan yang diberikan oleh doktor Hassan dibuka dan laporannya di baca, "Brain stem glioma!, Kanser pangkal otak, tahap terakhir, Ruang masa yang ada 2 bulan atau mungkin kurang ", dalam masa yang sama mesej ringkas dari Ustaz Hasrizal sampai, " khabar gembira buat adikku Saiful, lamaranmu diterima, boleh tetapkan tarikh ta'aruf? "...Allahu Robbi

Saiful terduduk, air matanya tidak mampu untuk keluar, sedih dan sentakan perasan yang diterima begitu menggugah jiwa, dia kini memandang lantai dengan pandangan kosong, tiada kata, tiada suara. Setelah berturut2 nikmat dariNya dikurniakan, begitu banyak nikmat yg di berikan, kini terima atau tidak, suka atau duka, nikmat umur dan nikmat kesihatan dituntut kembali oleh Yang Esa. Terpaku Saiful, terlintas lalu di benak fikirnya, " Adakah Allah sedang menuntut setiap kata2 ku?, adakah Allah sedang menuntut setiap khutbah dan kuliahku?, adakah Allah sedang meminta aku membuktikan setiap ikrar dan bicaraku? "...Saiful bangun dengan langkah longlai dan hati yang kosong, kini hanya satu dalam ingatannya, ALLAH!

********

Ustaz Hasrizal dan Ustazah Khadijah bergegas ke Kaherah setelah mendapat berita ini, mereka mahukan kepastian yang sebenar, dan itulah yang mereka dapat. Saiful membatalkan lamaran demi kemaslahatan yang lebih besar, kini hanya ada dia dan Allah.

********

Nur Ibtisam sedang riang dengan gelak tawa bersama sahabatnya di bayt Fatimah az Zahra, Sahabatnya Wardah mengusik riang....

" Ibtisam, agaknya apa nama anak enti nanti ye "

Seluruh ahli bayt ketawa mendengar celoteh nakal Wardah itu, usikan2 masih bertali arus membuatkan Ibtisam tidak senang duduk. Namun satu panggilan keramat dari Ustazah Khadijah akan menghentikan keseronokan dunia ini. Talifon Ibtisam berdering melagukan nasyid nyanyian kumpulan terkenal tanah air, In Team, Segenggam Tabah.

" Adikku Ibtisam, ana tahu enti seorang yang sangat tabah, dan ana pinta enti terus tabah bila mendengar khabar ini...hmm "... Ujar Ustazah Khadijah.

" InsyaAllah, semoga kita sama2 terus tabah, macam serius je, boleh ana tahu pasal apa? " ... Balas Ibtisam.

" Saiful Mujaheed...kini dia punya 2 bulan untuk menikmati hari2 akhirnya, mengikut kata doktor, kansernya ditahap akhir, jadi untuk kemasalahatan bersama, dia meminta untuk membatalkan lamarannya " ... Ustazah Khadijah mengungkap kata dgn cepat dan tegas, mengelakkan dia turut bermain dgn perasaan.

" Sabar ya adikku! " ...Ustazah Khadijah menenangkan.

Keriangan di wajah Ibtisam hilang sekelip mata, dia memandang sahabat2nya yang turut mendengar perbualannya, masing2 sunyi tanpa bicara, entah tidak tahu hendak berkata apa. Air mata seorang mujahidah tumpah berlinangan, tidak menyangka sebegitu mudah nikmatNya dituntut kembali. Sahabat2nya saling menenangkan Ibtisam dgn kata2 semangat, namun jiwa mana yang mampu tenang dengan sekelip mata dalam keadaan ini?.

********

Satu sudut di Bayt al Qurra' menjadi saksi malam itu, Saiful mengungkap kata menghampar rasa kepada Tuhan Yang Kuasa....

Ya Allah,

Dengan nikmatMu ku hidup, dan dengan ketentuanMu ku di pengakhiran,
Dengan kasihMu ku berdiri, dan dengan ketentuanMu ku terduduk,


Ya Rahman,

Ku hulurkan tangan memohon kecemerlangan, dan Engkau izinkan,
Ku hulurkan tangan mengharapkan pasangan solehah, dan Engkau hadirkan,
Ku hulurkan tangan menuntut ruang perniagaan, dan Engkau berikan,


Ya Rahim,

Ku hulurkan tangan memohon segala sesuatu, dan Engkau kurniakan,
Ku hulurkan tangan meminta setiap keperluan, dan Engkau maqbulkan,
Ku hulurkan tangan untuk menerima kurniaanMu dan ku hulurkan tangan untuk menyampaikan kepada yang lain....


Ya Bari',

Kini ya Allah, Engkau Hulurkan KEMATIAN, dan aku hulurkan tangan menerimanya, aku terimanya ya Allah demi pengabdianku padaMu!
Aku redha dan aku pasrah!

*****TAMAT*****

Seringkali wahai Qurra', manusia menginginkan nikmat dari Allah, nikmat keduniaan yang sementara. Seringkali wahai Qurra', pejuang2 agama meminta kekuatan untuk berjuang di bumi Allah. Semua ini tidak ada salahnya, namun cubalah sekali tunduk merenung akan suatu yang pasti tiba, KEMATIAN itu pasti dan tiada ubatnya. Apakah kita hamba yang patuh pabila kita masih tidak kuat untuk menghadapi hakikat KEMATIAN?, apakah kita pejuang yang sebenar jika KEMATIAN itu menjadi igauan?, adakah kita boleh menjadi insan yang bersyukur dengan meminta2 nikmat dariNya namun lupa untuk mengingati suatu yang pasti dihulurkan Tuhan untuk kita sambut dengan penuh ketaqwaan?...Itulah dia KEMATIAN!

SETELAH MENGHULURKAN TANGAN UNTUK MEMINTA DAN MENERIMA NIKMAT2 DARI-NYA, BERSEDIAKAH KITA UNTUK MENGHULURKAN TANGAN MENYAMBUT KEMATIAN PULA???

Maksud firman Allah SWT :

"Mahasuci Allah Yang di dalam genggaman kekuasaan-Nya seluruh kerajaan, dan Dia Mahakuasa atas segala sesuatu. Yang menciptakan mati dan hidup untuk menguji kamu siapakah di antara kamu yang paling baik amalnya, dan sesungguhnya Dia Mahamulia lagi Maha Pengampun"

Al-Mulk : 1-2

Wahai sahabat, KISAH ini FIKSYEN, namun KEMATIAN itu NYATA, untuk DIRI SENDIRI, jua untuk INSAN TERSAYANG DISEKELING....wallahu'alam, ana undur dulu.